Setiausaha Agung Baharu DPIM 1

 

Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) ingin mengumumkan pelantikan Dato’ Khairul Shahril Hamzah sebagai Setiausaha Agung yang baharu berkuatkuasa 1 Ogos 2020.

Pelantikan beliau ini bagi menggantikan Abdul Mohsein Mohd Shariff. Abdul Mohsein sebelum ini telah memegang dua jawatan iaitu sebagai Naib Presiden dan Setiausaha Agung DPIM. DPIM mengucapkan setinggi – tinggi penghargaan kepada Abdul Mohsein yang telah melaksanakan tugas dengan cemerlang dan kegigihan beliau dalam menggalas dua tugas bagi membantu melicinkan pentadbiran DPIM Pusat.

Dato’ Khairul Shahril Hamzah, 40 tahun adalah Ketua Pegawai Eksekutif bagi sebuah syarikat perundingan halal yang terkemuka di Malaysia, HQC Commerce Sdn Bhd. Sebelum melangkah ke alam perniagaan, beliau berpengalaman luas dalam pelbagai bidang di jabatan – jabatan kerajaan khususnya dalam bidang pengurusan, sumber manusia, kewangan dan pembangunan projek. Pengalaman beliau yang banyak terlibat dalam hal-hal yang berkaitan dengan dasar dan perancangan strategik di Kementerian – kementerian dan agensi – agensi kerajaan juga adalah keputusan yang wajar untuk melantik beliau sebagai Setiausaha Agung DPIM yang baharu.

Beliau kini terlibat secara aktif dalam sektor perundingan, peruncitan, perdagangan, pengembangan keupayaan manusia dan pensijilan yang berkaitan dengan industri halal. Beliau banyak mengalami proses pengauditan yang melibatkan industri halal dari pelbagai sektor perniagaan serta menguruskan kilang berstatus GMP yang menghasilkan produk makanan, minuman dan kosmetik. Penglibatan beliau ini secara tidak langsung dapat merancakkan lagi perjuangan DPIM dalam agenda Halal Ekonomi.

Dengan pelantikan Setiausaha Agung DPIM yang baharu, DPIM yakin akan dapat memantapkan lagi keberkesanan peranan DPIM dalam meningkatkan kualiti pengurusan seterusnya mengukuhkan perjuangan agenda – agenda DPIM agar menjadi penyumbang kepada kemakmuran dan ekonomi negara.

Salam Hormat,

MOHAMMAD SAHAR MAT DIN
Presiden