SEBUAH organisasi yang hebat bukan sahaja mempunyai tadbir urus yang cekap dan dinamik bahkan berupaya menterjemah strategi, misi dan visi organisasi dengan jelas agar dapat difahami oleh keseluruhan tonggak organisasi di semua lapisan pentadbirannya.

Untuk kekal relevan, setiap organisasi mesti bersedia untuk melalui proses mengkaji semula teras dan objektif kewujudan mereka supaya hala tuju yang telah diletakkan sebagai batu asas tidak pincang dan lari dari matlamat asal perjuangan sesebuah organisasi tersebut.

Mengambil Malaysia sebagai contoh, Wawasan 2020 yang telah diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1990 merupakan hala tuju yang kukuh untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan negara perindustrian dalam tempoh 30 tahun.

Nilai KDNK Malaysia dijangka meningkat kira-kira RM920 bilion menjelang tahun 2020 berbanding RM115 bilion  pada tahun 1990 dan ini adalah bersandarkan kepada keupayaan Malaysia untuk merealisasikan 9 cabaran strategik yang telah digariskan dalam wawasan tersebut.

Namun begitu, masa dan situasi tidak menyebelahi Malaysia maka kerajaan hari ini mengambil pendekatan yang proaktif mengubah sasaran wawasan untuk dijayakan menjelang tahun 2025. Pendekatan yang jujur dan berani ini membolehkan seluruh dasar kerajaan dapat diselarikan semula dengan aspirasi rakyat agar matlamat dan halatuju baru Wawasan 2025 dapat dicapai.

Sebagai sebuah dewan yang telah menjadi wadah kepada usahawan muslim lebih 25 tahun, DPIM juga telah mengambil pendekatan mengkaji semula visi, misi dan teras strategiknya samada masih lagi relevan sebagai asas dalam halatuju perjuangan dewan.

DPIM sedar bahawa dalam mendepani revolusi industri 4.0 serta cabaran ekonomi yang kian mencabar, dewan tidak sekadar wujud sebagai simbol atau jenama yang retorik dalam perjuangan semata-mata.

DPIM percaya dalam naratif Malaysia baharu, dewan perdagangan mesti berani ke hadapan menyatakan pandangan dan pada masa yang sama turut memberi input kepada kerajaan kaedah merangsang ekonomi negara yang memberi  kebaikan kepada ahli dan komuniti bisnes secara kolektif.

Satu pemukiman bina wadah 2.0 yang melibatkan pimpinan tertinggi DPIM dan jawatankuasa DPIM di peringkat negeri dari Perlis hingga ke Labuan telah diadakan di Jerantut, Pahang.

Kali terakhir pemukiman DPIM diadakan adalah pada tahun 2007. Menurut Pengarah Bina Wadah 2.0, Saudara Abdul Razak Shahbudin, objektif pemukiman kali ini adalah melihat kembali visi dan misi terdahulu dan seterusnya membina satu set halatuju baru bersasar yang jelas dan praktikal untuk tempoh 3 hingga 9 tahun.

Seluruh pimpinan DPIM yang hadir turut diberi ruang untuk terlibat secara inklusif dalam membuat keputusan secara sistematik, telus dan bebas bagi memacu perubahan yang lebih dinamik untuk organisasi.

Pendekatan ‘Bottom Up Decision Making’ ini memberi ruang kepada seluruh ahli DPIM yang hadir menyatakan pandangan secara bebas, boleh bersetuju untuk tidak bersetuju, berbincang secara konstruktif dan akhirnya bersama-sama mencapai kata sepakat dalam membuat keputusan terbaik untuk halatuju  baru visi dan misi DPIM secara khusus.

Turut disepakati dalam pemukiman ini adalah 5 Teras Strategik DPIM baru yang akan menjadi tunjang kepada perjalanan organisasi untuk tempoh 9 tahun akan datang. DPIM turut bersetuju untuk memberi fokus dan komitmen menjayakan Jihad Bisnes, Industri Halal dan Waqaf Korporat sebagai misi DPIM untuk memberi keyakinan kepada  komuniti bisnes muslim bahawa DPIM adalah wadah perjuangan bisnes yang berteraskan Al Quran dan As Sunnah.

Program Bina Wadah 2.0 telah membina lembaran baru dalam gerakan organisasi berjamaah DPIM. Keakraban yang wujud dari pemukiman ini membuka ruang kerjasama melewati urusan bisnes semata-mata bahkan telah mengangkat sepasukan kepimpinan DPIM yang komited untuk menggerakkan halatuju baru DPIM ke peringkat akar umbi berdasarkan keputusan yang dipersetujui dalam Deklarasi Jerantut 2019 demi memacu perubahan yang praktikal dan seterusnya memberi manfaat kepada seluruh ekosistem ekonomi ummah.

« 1 of 12 »