JOHOR BAHRU, 27 Disember 2022 – Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) adalah badan bukan kerajaan yang memayungi usahawan – usahawan Muslim. Dengan perjuangan agenda yang sentiasa dibawa oleh DPIM iaitu Jihad Bisnes, Wakaf Korporat dan Halal Ekonomi, DPIM memastikan usahawan terus membangun mengikut peredaran semasa. Bermula 2022, DPIM memperjuangkan agenda baharu iaitu Ekonomi Islam Digital. Melalui agenda tersebut, DPIM mengambil inisiatif dengan mengadakan Seminar Memperkasakan Ekonomi Islam Digital bertempat di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru.
Seminar Memperkasakan Ekonomi Islam Digital dihadiri seramai 200 peserta yang terdiri daripada kebanyakan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Johor dan sebahagian daripadanya usahawan DPIM dari serata negara. Seminar tersebut menampilkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sebagai panel slot pembukaan dan enam (6) panel pemain industri Ekonomi Islam Digital. Panel adalah terdiri daripada syarikat iaitu AFFIN Bank Berhad, SALIHIN Group, ACQM Sdn. Bhd., Toyyibpay Sdn. Bhd., Sinergi PLT dan Ethis Group.
Khusus buat peserta seminar, panel – panel bukan sahaja memberi bimbingan kepada perkhidmatan digital, malah peserta seminar juga menerima tawaran istimewa daripada beberapa panel seminar. Antara tawaran yang diberikan adalah kadar istimewa pembukaan akaun korporat AFFIN Bank, pendaftaran percuma terminal pembayaran tanpa tunai, kredit RM50 melalui pembukaan platform pembayaran atas talian Toyyibpay Sdn. Bhd., pembukaan sistem pengurusan kewangan percuma dan pembukaan akaun emas percuma. Dengan ini, peserta seminar dapat menggunakan kesemua tawaran tersebut dan terus diaplikasikan dalam perniagaan.
Harapan yang dibawa oleh DPIM melalui program ini bukan sahaja mendigitalkan perniagaan usahawan, namun DPIM juga optimis usaha ini dapat memberi pencerahan kepada peserta bagaimana penglibatan dalam Ekonomi Islam Digital membantu dalam pembangunan perniagaan. Program tersebut juga adalah inisiatif yang diambil oleh DPIM demi menyambut usaha kerajaan dalam mengukuhkan ekonomi negara.